Sunday, 24 April 2011

JURUKAMERA, Wan Chun Hung, 37, sentiasa mencari pendekatan dan teknologi terbaik untuk mendapatkan kesan terbaik dalam penggambaran dengan peralatan videografi.
"Mengapa? Proses mesti cepat, tepat, berkesan dan memberikan hasil terbaik. Untuk telefilem Darlingku Citra ini, saya memanfaatkan teknologi videografi terdapat pada kamera digital Single Lens Reflex (SLR) jenis Canon EOS5D Mark II. Sebelum ini, saya lebih banyak menggunakan Sony EX1.

"Kamera EOS 5D mampu bukan sekadar merakam gambar Definisi Tinggi (HD) tetapi praktikal dan mudah dikendali. Kamera ini paling digemari ramai pembuat filem persendirian. "Bukan sekadar fleksibel, tetapi kamera mampu dapat membantu proses rakaman dalam dan luar bangunan. Kelebihan lain? Banyak pilihan lensa profesional yang boleh ditukar-tukar mengikut keadaan. Pos produksi juga mudah kerana apa saya perlu lakukan adalah hanya menambah skrin tambahan.

"Secara keseluruhan, saya suka membuat penggambaran bertema masyarakat majmuk seperti Darlingku Citra. Mesej diketengahkan dalam telefilem menyentuh kehidupan sebenar masyarakat negara ini. "Sebelum ini pun, saya bekerjasama bersama ramai pengarah berlainan bangsa menyiapkan pelbagai jenis filem, drama dan muzik video di lokasi mencabar. Melalui kerjasama ini, banyak elemen baru diterokai sekali gus menjadi medan eksperimen kemanusiaan, teknologi dan persekitaran. "Jadi, saya memerlukan kamera yang boleh bekerja dalam pelbagai situasi. Ini projek keenam saya di Malaysia selepas bekerjasama Woo Ming Jin menerusi Tiger Factory ditayangkan di Festival Filem Cannes, Perancis," katanya. Wan berpengalaman bekerja sebagai Pengarah Fotografi TV Komersial di Thailand selama tiga tahun. Antara penggambaran sebelum ini adalah 100 Hari Jadi, Aku SRK, Garuda dan MTV penyanyi Indie Cina, Vic Teo. "Saya akan terbabit dalam penggambaran filem baru, Seru selepas ini," kata Wan lepasan Brooks Institute of Photography, California.

1 comment: